Sepotong Kek Untuk Azizah

Entah untuk kali ke berapa Remy menilik jam, dia tidak pasti. Tapi yang pasti seseorang sedang menunggunya. Peluh yang mula membasahi belakang badan buat Remy tidak selesa. Perfume yang melekat mula melarut bersama. Dengan tergesa-gesa, Remy menyusun timbunan kertas sambil menarik-narik kolar bajunya membiarkan angin masuk.
Disebabkan terlalu banyak laporan yang diterima, Balai Polis Seri Aman kelihatan sibuk dengan kunjungan mereka yang ditimpa masalah. Pen dan  kertas tak lekang di tangan Remy bagi mengambil setiap butiran maklumat. Dan pelbagai ragam manusia perlu dia hadapi dengan tenang.
Menyoal, mendengar dan mencatat sekaligus membuatkan dia lupa untuk lunch. Dan dia juga terlupa bahawa temu janjinya sedang menanti sebelum sebuah mesej masuk bertanya di mana keberadaannya.
Selesai berkemas, Remy terus bergerak ke kereta dan menghidupkan enjin. Ditalanya penghawa dingin pada takat tertinggi lalu bergerak meninggalkan balai polis Seri Aman yang tak putus-putus di masuki orang. Segala perihal kerja ditinggalkan di balai dan hanya fikirannya membayangkan wajah kekasihnya yang barangkali masam mencuka yang perlu dia atasi.
Dalam perjalanan, Remy menyemak noti facebook yang masuk. Dia masih mampu tersenyum  melihat pemberitahuan mengenai hari lahir insan yang istimewa dalam hidupnya bertarikh hari ini. Hari yang istimewa buat orang yang istimewa fikir Remy.
Hanya mengambil setengah jam untuk sampai. Remy letak keretanya di kotak parkir. Disembur dua tiga picit Dashing mengenai celahan ketiak dan batang leher. Rambutnya dikemaskan dengan sikat. Lalu, dia berjalan keluar menuju ke dalam kompleks beli-belah yang kelihatan gah dengan rasa gemuruh.
***
Azizah juga menilik jam tangannya, entah untuk kali ke berapa dia juga kurang pasti. Yang pasti tiada seorang pun kelihatan iras-iras Remy yang lalu-lalang. Perkiraannya, sudah 30 minit punggungnya melekap pada kerusi panjang yang disediakan pihak kompleks beli-belah. Hanya nafas berat yang dihempus lemah dalam pada menunggu ketibaan Remy yang tak kunjung tiba.
Sudah dimesej teman lelakinya itu bagi mengingatkan tentang temu janji ini. Remy juga sudah balas dengan memberitahu dia sedang dalam perjalanan. Itu membuatkan perasaan marah Azizah berkurang sedikit. Namun, dia tetap mahu memarahi teman lelakinya atas kelewatan yang disengajakan mahupun tidak.
“Azizah...,” bahunya disentuh dari belakang. Azizah tersentak lalu menoleh. Mukanya merah padam menahan marah tatkala melihat wajah Remy yang tersengih seperti kerang busuk.
“Kenapa awak lambat sangat? Mana awak pergi? Tahu tak berapa lama saya tunggu?”, Azizah terus menebak Remy tanpa beri peluangan kepada lelaki itu untuk memberi penjelasan. Dia tahu bahawa Remy bukan sengaja lewat. Pasti ada alasan yang tersendiri untuk dikongsi oleh lelaki itu.
“Maaf, ramai sangat datang tadi buat laporan. Sampai saya tak sempat nak lunch tau. Maaf, okay?” Ujar Remy cuba membela diri.
Azizah hanya mendengar sambil memeluk tubuh. Dia faham benar akan tugas Remy selaku anggota polis di mana dia perlu bersaing dengan tugas Remy  yang selalu merantai lelaki itu untuk terus di balai. Dan dia perlu bijak mencuri waktu Remy yang terlalu terhad untuk dikongsi bersama.
“Tapi, awak tak lupakan temu janji kita?”, soal Azizah ragu-ragu tanpa memandang Remy. Bibirnya diherot ke sisi.
“Mana ada saya lupa,” tipu Remy. “Kan kita dah janji nak sambut hari jadi awak hari ini.” Senyum Remy semanis mungkin.
Azizah terus menjadi sejuk daripada dibakar rasa marah tatkala mendengar isi hati teman lelakinya itu. Dia memandang tepat ke arah wajah Remy yang masih tersenyum. Lantas, hatinya cair dan dituruti dengan senyuman memanjang di bibir.
Remy mendekatkan mulutnya pada telinga Azizah.
“Happy birthday, sayang. You always be the first in my heart.”
Bergema seisi telinga Azizah mendengar kalimah yang terucap daripada mulut lelaki yang paling dia sayang. Luruh kudratnya untuk terus berdiri. Pada ketika itu, Azizah dapat merasakan jantungnya bekerja keras daripada biasa.
Tanpa diduga, pipi Azizah menerima satu kucupan istimewa. Kata Remy, itu hadiah yang pertama buatnya.
Muka Azizah mula kemerahan. Cepat-cepat dia tarik tangan Remy dan beredar dari tempat mereka berdiri dengan langkah yang tak menentu.
***
Sedikit riuh rendah suasana di kondominium mewah milik Azizah di tingkat 7. Hilai tawa yang memenuhi menjadikan malam itu malam mereka – Azizah, Remy dan teman-teman Azizah.
Memang dirancang daripada awal untuk dibuat sedikit jamuan bagi menyambut hari lahir si peguam bela yang terkenal di Kuala Lumpur akan kehebatannya. Azizah amat handal. Ketika di pentas mahkamah dia seorang jaguh. Memanipulasi perkara dan psikologi kepakarannya. Jarang sekali kes yang dibawa menemui kekalahan. Kalau ada itu cuma satu dua.
Jelas hati Remy telah terpaut pada perempuan itu sejak kali pertama dia melihat permainan Azizah yang menampakkan keyakinan. Seolah dia akan menang walau seberat mana kes yang dipikul. Remy yang hanya duduk di barisan belakang menjadi pemerhati perbicaraan kes seorang perempuan. Dan pada saat itu dia tahu bahawa Azizah orang yang dicari.
            “Rudy, thanks sebab sudi datang,” ujar Azizah pada lelaki yang bernama Rudy yang sedang memakai kasut.
            “Ingat Azizah, you dah 29 tau. Kena cepat kahwin.” Usik Rudy sambil matanya dikelipkan ke arah Remy. Azizah geleng mendengar gurauan Rudy.
            “Cherry, Samantha, Farah, oh thank you so much. I appreciate for the present and for your coming.” Ketiga mereka berlaga pipi dengan Azizah yang terlalu gembira. Remy berdiri di belakang Azizah dan hanya memerhati gelagat gadis-gadis itu berinteraksi. Sesekali dia menghulur senyuman.
            Dua buah kereta bergerak meninggalkan kondominum yang mewah itu dalam malam yang semakin pekat. Hapus semua hilai tawa dan keriuhan yang timbul sesudah majlis selesai. Walaupun memenatkan, tapi Azizah gembira. Cuma sekali dalam setahun dia diraikan dan tidak salah dia menjamu kawan-kawannya untuk satu malam.
            Azizah menutup pintu. “Masa untuk kemas !”, tangan Remy ditarik Azizah. Tanpa membantah, lelaki itu turuti demi orang yang teristimewa. Malam yang memenatkan untuk saat kegembiraan.
            Azizah mengasingkan makanan yang lebih dalam satu pinggan. Mana pinggan yang kosong dibawanya ke sinki untuk dibasuh. Dalam pada itu, Remy sedang mengikat plastik sampah hitam. Dua plastik kesemuanya untuk dibuang.
            “Remy, thanks sebab susahkan diri untuk ni semua”, Azizah mulakan bicara. Dia memandang tepat ke wajah lelaki yang tak pernah mengeluh di hadapannya. Walau sesibuk mana dan seberat mana tugas yang dia ada, Azizah tidak pernah dihampakan.
            Remy mengulum senyuman.
“Sacrifice for the person that you love. Kan?” kata Remy ikhlas yang lahir dari isi hati. “Eh, dah jom sambung kemas. Dah lewat ni. Esok saya kerja lagi.”
Remy keluar dengan menjinjing dua beg plastik sampah meninggalkan Fatimah di sinki. Terngiang-ngiang kata-kata Remy yang mencairkan hatinya. Mana mungkin cintanya akan berubah untuk lelaki seperti itu. Jujur, penyayang dan romantik kadang kala membenamkan lagi rasa cinta Azizah terhadap Remy sedalam lautan mati.
Dalam pada Azizah mengelamun, poketnya bergetar. Tangannya yang basah dilap pada baju. Segera ditarik telefon di dalam poket. Sebuah mesej masuk tanpa nama yang tertera.
Pergi ke beranda. Lihat ke bawah.
Rasa inquiri yang merebak setelah membaca mesej itu membuatkan Azizah menuju ke beranda. Apa ini permainan daripada kawan-kawannya untuk menakut-nakutkannya pada hari yang begitu istimewa? Dan terlalu banyak andaian yang diduga kotak akalnya.
Azizah patuh. Dia sekarang berdiri di hujung beranda lalu melihat ke bawah. Matanya dikecilkan bagi melihat dengan lebih jelas. Puas dia mencari namun tiada apa yang terpandang. Hanya barisan kereta yang diparkir kelihatan. Barangkali mesej itu salah alamatnya.
Azizah berpaling untuk masuk ke dalam semula. Banyak lagi kerja yang perlu dibuat, getusnya.
Tanpa diduga, lehernya dicekik kuat secara mengejut. Satu susuk tubuh yang berpakaian hitam sambil mengenakan topeng berdiri di hadapannya. Azizah cuba melepaskan diri dengan meronta sekuat hati. Namun, susuk tubuh itu terlalu kuat untuk dilawan dengan kedua tangganya ada pada batang leher Azizah. Kudratnya tidak mampu menentang dengan pukulan yang semakin lemah dikenakan pada susuk tubuh itu. Lama-kelamaan, nafasnya semakin terhad. Kerongkongnya dirasakan seperti tersumbat batu. Terasa sukar baginya untuk membuka kelopak mata yang akhirnya terpejam. Dadanya yang berombak terus terdiam.
Susuk tubuh itu melepaskan cengkamannya di leher Azizah. Dia melihat seketika pada wajah perempuan itu buat kali terakhir. Tanpa rasa ragu, dia menolak tubuh Azizah jatuh dari tingkat 7 perlahan-lahan.
Bunyi hentakan pada bumbung kereta menandakan segalanya berakhir. Tubuh Azizah tertiarap dan darah keluar dari ubunnya mengalir membentuk kelopak merah.
Azizah telah mati. Satu malam yang panjang untuk Azizah nikmati tamat. Kegembiraan yang menemui ajal sama sekali bukan dalam rancangan Azizah. Mungkin itu surprise untuknya pada ulang tahun ke 29. Tarikh dia mana dia dilahirkan dan nyawanya dipulangkan kepada Tuhan.
***
Seorang lelaki berpakaian polis tidak keluar dari perut keretanya sejak sejam yang lalu. Dia memandang beranda kondominium yang berada di tingkat 7. Kejadian seorang peguam yang hebat mati disyaki bunuh diri hangat diperkatakan kira-kira dua tahun yang lalu terngiang-ngiang dalam ingatan.
Remy tidak pernah kesali akan kematian Azizah. Azizah mati bersebab. Dia terbayang wajah Azizah dan adik perempuannya, Fatimah. Kedua mereka Remy sayang tiada tolok bandingnya. Keduanya juga sudah mati menemua Tuhan. Malangnya, Fatimah mati di tali gantung atas kekalahan kesnya dipertahankan. Remy ingat segala yang berlaku di hari kejadian. Dan dia tidak akan maafkan orang yang mengakibatkan darah dagingnya dibunuh.
Remy ambil keputusan untuk keluar daripada kereta. Sepotong kek yang terletak bersebelahan kerusinya diambil.
Kek buat teman istimewanya pada hari yang istimewa.
                                                                     ***     
Di kandang pesalah, Fatimah hanya menundukkan pandangan. Peguam di pihak lawan sedang rancak membuktikan anak buahnya tidak bersalah. Azizah dengan bukti yang terkumpul menguatkan lagi alibi Datuk Hisham selaku anak buahnya. Datuk Hisham bijak memilih Azizah kerana dia tahu akan kehebatan perempuan itu apabila beraksi.
Hari ini bakal menentukan sama ada hidup Fatimah bakal berakhir. Dia tidak berdaya untuk berbuat apa-apa melainkan mengadu pada Tuhan untuk menyelamatkannya.
Remy yang duduk di barisan belakang, tenang menghadapi situasi tersebut. Segenap ruang mahkamah dipenuhi orang ramai dan para wartawan. Kes yang dihadapi adiknya benar-benar menjadi bualan masyarakat sehingga mendapat perhatian.
Tuk! Tuk!                             
Dua kali ketukan daripada Hakim menandakan perbicaraan tamat. Dan keputusan akhir telah dibuat. Jelas dan muktamad, Fatimah dikehendaki bersalah atas menyimpan dadah di pejabat dan perlu ke tali gantung.
 Remy tahu adiknya tidak bersalah. Ini angkara Datuk Hisham supaya separuh saham syarikat pada Fatimah jatuh ke dalam tangannya. Berbekalkan taktik kotor, Fatimah terperangkap dan menjadi mangsa. Orang tua itu mengajaknya bermain api, fikirnya.
Remy menghembus nafas berat setelah mendengar keputusan daripada hakim. Datuk Hisham dan Azizah segera beredar dengan senyuman melebar sambil diarak oleh para wartawan yang mahukan liputan. Remy menjeling ke arah mereka. Hatinya sudah bertekad kedua mereka akan terima pembalasan yang setimpal. Nyawa perlu dibalas nyawa.
Dan Remy akan mulakan dengan si penguam handal, Azizah.           
***
            Puas Remy mengingat semula kejadian itu. Kejadian pahit yang sukar untuk dipadam dalam hidupnya. Kini, separuh dendamnya telah terbayar. Azizah dibunuhnya pada malam ulang tahun perempuan itu. Dia menyamar menjadi satu susuk tubuh yang bertopeng. Terasa berat hati ketika dia ingin menolak Azizah jatuh. Namun, terbayang sahaja wajah Fatimah dendamnya membakar lebih marak. Akhirnya dia berjaya menyelesaikan tugasnya yang tertangguh.
            Kek yang dibawa Remy letakkan di atas meja. Dan lilinnya dinyalakan api.
            Perlahan-lahan Remy mengatur langkah ke beranda. Giliran Datuk Hisham menanti untuk melunaskan separuh lagi dendam yang terbuku, gumamnya. Tiada siapa akan terlepas, itu janji Remy.
Dia memandang ke dada langit. Wajah Azizah dan Fatimah kelihatan terbentuk daripada kepulan awan sambil tersenyum. Remy dapat rasakan kehadiran mereka terutamanya Azizah. Dia pejam mata dan mengingatkan semula detik Azizah tersenyum pada hari jadinya persis senyuman yang sedang terlakar di dada langit.
Hari ini merupakan hari yang istimewa untuk Azizah tanpa diraikan Remy dan rakan-rakannya seperti dua tahun lepas. Hanya sepotong kek dan al-Fatihah daripada Remy tanda dia tidak pernah lupa akan ulang tahun wanita yang pernah dia sayangi. Dan ucapan yang meniti dibibir buatkan air matanya jatuh mengalir.
Selamat Hari Jadi Azizah !














Comments

Popular posts from this blog

CANGGUNG (Part-1)

Ditulis Dari Hati yang Keras

Puisi cinta #1