AKU, HOWIE DAN SEBILAH KAPAK
Ketika
saya bersetuju untuk membeli sebilah kapak yang sederhana datang seorang tua
menegur.
“Awak memilih tu?”, soalnya sopan dan tidak teragak-agak.
Ketika itu kami sedang berbaris dan dia di belakang saya.
“Ye. Kenapa?”, saya menjadi bingung. Apa datangnya masalah
tentang keputusan saya untuk membeli kapak ini.
“Mungkin awak akan ubah fikiran
kalau saya cakap kapak itu tidak sesuai untuk memotong pokok atau mematahkan
mana-mana dahan sebesar pemeluk.” Ujar orang tua itu dengan yakin. Dia nampak berpengalaman
dengan alatan tajam. Melalui butir percakapannya, saya percaya dia tidak asing
dengan kerja-kerja berat. Barangkali dia seorang tukang kayu. Dan kepalanya
tidak terisi dengan rambut di bahagian tengah membuatkan saya benar yakin
pengalaman yang luas mengikis setiap helaian rambut di kepalanya.
“Jadi, awak ada idea yang lebih
bernas?”, saya mula meragui atas kebijaksanaan saya ketika memilih. Sepanjang
20 tahun, tidak pernah saya tersilap dalam membuat keputusan. Memilih untuk
tinggal sendiri tanpa pertolongan ibu bapa saya. Memilih untuk membeli kereta
bukan keluaran tempatan kerana materialnya yang lopek. Dan memilih setiap
makanan yang disumbat ke dalam perut saya. Semuanya atas pilihan saya. Lantas pada
hari ini, ketika saya sedang berbaris menuju kaunter pembayaran, pilihan saya
telah diragui oleh seorang tua. Seorang tua yang nampak gagah dengan misai
blonde.
“Awak sebenarnya perlukan saiz yang
lebih besar. Ini berkaitan benda yang besar untuk dipisahkan.” Orang tua itu
melangkah keluar dari barisan. Dia seperti menuju ke bahagian perkakas
hardware, tempat di mana pelbagai kapak disusun dan lain-lain barang.
Mujur di hadapan saya masih ada 3
orang yang mendahului. Kiranya saya masih berkesempatan untuk mengimbang tara
pilihan orang tua itu dan barangkali sanggup mengubah fikiran sekiranya
cadangannya boleh digunapakai. Hampir
saya tidak percaya. Lalu menampar muka sendiri memang sakit. Saya tidak
bermimpi di atas katil dan dimainkan. Memang ianya seorang tua seakan merestui
niat saya untuk membeli kapak. Orang tua itu bukan sekadar tua dengan angka
yang banyak. Tetapi, dia tua yang bermakan pengalaman.
Saya menoleh semula ke bahagian
perkakas hardware, mencari kelibatnya. Seketika dia muncul dengan sebilah kapak
bersaiz besar. Lebih besar daripada apa yang saya dapat. Saya anggarkan itu
kapak yang paling besar yang dijual disini. Cuma saya tidak pilih kapak itu
pada awalnya kerana ianya berat dan nampak kejam untuk di bawa di tengah
kompleks membeli belah. Orang tua itu membolak-balik kapak gergasi itu dengan
senyuman yang meleret. Jelas terpampang di raut wajahnya berharap saya akan
bersetuju dengan ideanya. Memilih kapak yang lebih besar.
“Saya sudah anggarkan yang awak akan
membawa kapak ini.” Jelas saya jujur.
Dia
berdiri dihadapan saya dan membelek setiap inci badan kapak itu. Seperti mahu
memastikan itu kapak terbaik. Dia menghayun perlahan, mengacah-acah di udara.
Cuba memutarkan bahagian yang menyatukan mata dan hulu. Kelihatan kedutan di
wajahnya dan setiap tenaga yang dikerah terlalu bersungguh-sungguh.
“Jika
ada pokok rosewood pasti saya akan mencubanya dengan real.” Jelas orang itu
tersengih.
“Bagaimana
dengan idea saya? Adakah berjaya mengubah pendirian awak?”
“Nampaknya
saya akur dengan cadangan awak. Saya terlupa benda yang perlu dikerjakan itu
besar. Ternyata awak sangat berpengalaman dan baik hati.” Saya ikutkan hati
mengubah pilihan awal saya mengenai kapak yang bersaiz sederhana. Saya terlupa
yang Linda agak besar dan berisi. Sekiranya saya degil dengan kapak yang
bersaiz sederhana ini, saya akan mengambil masa yang lama. Saya tidak boleh
berlengah atau saya akan terlepas menonton drama kesukaan saya. Ini bermakna
dengan menukar kapak yang lebih besar, masa saya dapat dijimatkan. Pasti !
“Jangan
terlalu memuji. Saya sekadar berani memberi cadangan supaya awak tak kesal
apabila tiba di kaunter bayaran. Biasalah ketika muda, saya sering melakukan
kesilapan dalam pelbagai perkara. Saya tidak ingin awak juga menerima keadaan
yang sama. Saya masih ingat kesilapan itu telah membawa saya kepada pengalaman.
Sedangkan tanpa pensel siapalah pemadam.”
Saya
mengambil kapak di tangannya. Dan juga kata-katanya yang berinspirasi. Semangat
saya untuk melakukan kerja malam ini seperti banyak kayu yang ditambah ke dalam
unggun api. Apinya menjulang naik dan semakin merah. Saya cuma tidak perlu
banyak berfikir. Hanya kosongkan fikiran. Mengetepikan bebanan masalah dan
merangkul Linda di benak fikiran. Walaupun subjek saya adalah Linda, tetapi
samar-samar untuk saya bayangkan wajahnya. Cuma kapak yang besar itu saya ambil
sebagai langkah berjaga-jaga.
Selepas
membuat pembayaran, saya ucapkan terima kasih kepada orang tua itu. Sempat saya
bertanyakan namanya.
“Howie.”
Howie
adalah kenalan saya yang baharu. Dan yang menarik adalah saya belum punya
kenalan bernama Howie sebelum ini. So, its time to say hello!
***
Saya
tidak tahu apa yang dimakan perempuan ini. Sama ada 5 guni burger atau beberapa
kotak pizza. Tetapi, dia memaksa saya untuk bekerja lebih kuat daripada apa
yang dijangkakan. Hampir 5 minit saya mengheret tubuh seorang perempuan dan ia
amatlah janggal. Sebelum ini, saya hanya diarahkan menghapuskan mayat lelaki.
Untuk kali ini permainan yang saya mainkan berlainan. Besar kemungkinan
habuannya juga berlainan daripada apa yang biasa saya peroleh.
Sudah
seratus meter saya rasa tubuh Linda diheret. Sejak dari kereta yang saya
tinggalkan seketika di tepi jalan sehingga saya berdiri di sekitar daun-daun
kering yang gugur. Saya berdiri tidaklah ditengah hutan tetapi cukup untuk
mendapatkan privasi. Cuma saya diintai bulan di kaki langit tidak apa-apa.
Tidak
menunggu lama, saya menarik keluar kapak yang tersandang di belakang badan. Arahan
yang saya terima dari ‘Super Somebody’ adalah memotong tubuh Linda menjadi
bahagian yang kecil dan dibuang ke dalam sungai berdekatan. Duit pula akan tiba
di pintu rumah apabila kerja gila ini di yakini selesai.
Kaki
dan tangan Linda saya kepakkan supaya senang untuk dibelah. Sebelum itu, saya
mengeluarkan gula getah dan apabila manisnya benar meresap di lidah saya mula
menghayun kapak ke tangan kanan Linda. Setiap arteri putus serta merta. Darah
terpancut rawak. Pakaian saya mula bertompok merah langsung saya tidak ambil peduli.
Cuma saya sibukkan tentang duit yang akan tiba di pintu rumah selesai sahaja
saya bereskan mayat Linda.
Dalam
pada itu, saya teringatkan Howie. Ideanya memang cool. Hanya sekali hayun habis
segalanya putus !
***
Apa
yang menjadikan hari saya gembira selain masakan ibu saya yang cukup selera
adalah duit yang baru saya terima pagi ini. Itu adalah duit sempena tugas membereskan
Linda. Memang dalam jangkaan saya ianya akan berlipat kali ganda daripada
sebelumnya. Saya cium wang itu. Bau yang lebih wangi daripada perfume wanita
saya kira.
Saya
berjalan menuju ke kafe untuk sarapan pagi. Jarang sekali untuk saya bangun
sebegini awal. Ternyata kegembiraan yang sedang saya alami mematikan rasa
kantuk. Setiba di sebuah kafe, saya menolak pintunya. Bau roti yang dibakar
sempurna menyambut kedatangan saya. Dan aroma kopi segar seperti mengambil alih
saya yang sebenar. Lekas saja saya menuju ke kaunter untuk membuat pesanan. Dua buku roti dan secawan kopi latte. Sudah
memadai untuk menggerakkan hari ini.
Saya
begitu terkejut apabila kelihatan seseorang yang saya kenali sedang duduk
ditemani secawan kopi blend. Pada mulanya, saya ingin membuat kejutan
kepadanya. Menyergah dengan suara yang kuat pasti mematikan lamunannya yang agak
jauh tetapi saya fikir itu agak biadap untuk dilakukan kepada orang seusia
Howie. Barangkali dia ada lemah jantung.
“Tak
sangka jumpa awak di sini, Howie.” Tegur saya sambil bersalaman. Dan segaris
senyuman manis saya tonjolkan. Lamunan Howie terus ghaib disebabkan kehadiran
saya.Pandangan kosong itu tadi hilang sementara. Dia sekadar membalas senyuman saya dengan
anggukan lemah. Saya tahu ada sesuatu yang sedang dia fikirkan. Yang pasti
sesuatu itu adalah bukan berbentuk kesenangan.
“Hei,
anak muda !”
“Panggil
saya Arthur.”
“Arthur,
bagaimana dengan kapak kelmarin? Memuaskan?” Cepat sahaja Howie beralih mood.
Dia mula bertanya tentang kapak yang telah dia pilih untuk saya ketika kami
berjumpa secara kebetulan.
“Sangat
mengujakan. Ianya terlalu bagus untuk digambarkan dalam cerita. Mungkin awak
patut mencubanya juga.”
Howie
tergelak. Ada sedikit kepuasan di celahan kemurungan.
“Saya
berbesar hati dapat membantu.”
Saya
ambil tempat duduk di kerusi bersebelahan Howie. Kerusi yang tinggi kakinya
seperti di bar.
“Awak
kelihatan sedang bersedih tentang
sesuatu? Kalau tak keberatan untuk saya tahu apa yang telah mengambil senyuman
awak hari ini.” Saya cuba menjadi prihatin. Howie adalah kawan saya yang baru
dan paling berusia. Tidak salah untuk saya mengambil tahu tentang masalah yang
dialami.
“Saya
baru sahaja kehilangan seorang anak perempuan. Kelmarin dia keluar rumah untuk
berjumpa dengan kawan-kawannya. Kamu tahu remaja, berparti dan melepak bukan
benda asing. Sehingga lewat malam saya tunggu dia balik. Dan pagi ini seorang
anggota polis datang ke rumah saya untuk memohon pengesahan tentang sebuah
mayat. Ianya adalah anak perempuan saya, Linda. Terlalu cepat untuk saya
dikejutkan dengan berita yang tidak saya fikirka, Arthur.”
Hampir
jantung saya berhenti berdetak mendengarkan Linda adalah anak kepada Howie.
Perempuan yang saya pisahkan jasadnya setiap satu adalah darah daging Howie.
Linda agak berisi tetapi Howie hanya kurus. Tidak saya jangkakan mereka
mempunyai pertalian darah. Saya menepuk perlahan belakang Howie. Dia menangis
dan suaranya tersekat-sekat. Seperti dia mahu meneruskan kata-kata yang tidak
sempat diluahkan. Saya menyuruhnya berhenti daripada bercakap. Dan terusan dia
mengalirkan air mata.
“Ianya
okay untuk menangis kerana Linda. Saya ada di sini.” Walaupun pada hakikatnya
saya tahu segalanya tidak okay. Saya menarik Howie ke dakapan saya. Memberinya
keselesaan untuk menangis. Pagi ini mula menjadi masalah.
Saya
mula teringatkan kesungguhan saya mencincang Linda. Tenaga saya begitu kuat pada
malam itu. Saya tidak pasti untuk merasa bersalah. Hakikatnya rasa itu mula
datang. Duit sudah ada di dalam poket. Untuk memberitahu Howie siapa yang bunuh
anak perempuannya pasti sesuatu yang mustahil untuk saya lakukan kerana ia
adalah diri saya sendiri.
Sekiranya saya tahu dari awal Linda itu anak
perempuannya Howie pasti saya akan berkira-kira untuk mengambil tugas kali ini.
Adakah saya atau Howie yang bersalah? Kerana saya memutuskan anggota badannya
Linda hingga menjadi pembunuhan yang tragis? Atau kerana Howie yang menyarankan saya untuk membeli
kapak yang lebih besar bagi memudahkan kerja?
Semuanya semakin rumit. Yang pasti
ini berkaitan saya, Howie dan sebilah kapak.
Comments
Post a Comment