Air Dari Langit
Hujan turun tak putus-putus. Aku berdiri di tepi kaki lima,
rasa percikan hujan namun tak diendahkan. Waktu ofis sudah tamat 10 minit
lepas. Rakan-rakan lain barangkali sudah sampai rumah. Dan aku masih di sini,
terpacak menanti payung turun dari langit?
Manusia memang takut
dibasahi hujan mungkin.
***
Melabuhkan punggung pada kerusi kedai kopi terkemuka, aku
nampak cool. Hujan diluar menambahkan lagi rasa cool. Seperti di dalam komuniti
borjuis. Telefon epal, diskusi tender berjuta dan pasangan romantika
menyelubungi. Aku minta kopi kapitalis pada harga paling murah, gadis di
kaunter jeling. Peduli apa!
Sambil aku hirup kopi, aku memerhati sana sini. Manusia dan
kesibukannya. Manusia dan kewajarannya mengutip wang. Manusia dan sisa hidup
mereka. Saling tak berhenti melangkah sambil telefon di telinga.
Dan aku perhati, seorang lelaki teragak-agak untuk meredah
hujan. Dia seperti robot ofis, daripada cara pemakaiannya.
Redah saja! Hujan cuma air rahmat langit. Bukan kepingan
kaca. Manusia memang takut dibasahi hujan mungkin. Aku pula beremosi.
Kopi tersisa dihirup lagi.
***
Aku cuma dihina, pengemis busuk. Meminta duit berbekalkan
muka tembok. Setiap kali masyarakat memandangkanku, aku dapat baca hati mereka
“Siapa suruh jadi miskin.” Aku tidak diberi pilihan. Miskin atau kaya itu
ketentuan. Tapi, aku tak salahkan ketentuan.
Hujan berterusan turun, petanda rezeki.
Di pinggir kedai kopi mewah, aku mengemis. Mereka, kaya
dengan pakaian, miskin dengan pertolongan, sekadar melintas seperti aku celaka
yang perlu dijauhi.
Kelibat seorang gadis keluar dari kedai kopi mewah, datang
menghampiri.
Not 10 ringgit dan syiling 20 sen masuk dalam bekas
memintaku. Aku tersenyum, dia juga dan lalu beredar.
Memang benar, hujan turun petanda rezeki.
***
“Sial, sial, sial habis basah baju aku.” kata seorang wanita
tua, terkocoh-kocoh kain baju di ampaian ditarik.
Sebatang rokok terkepit di mulut. Belum dibakar, barangkali
tidak sempat.
Tatkala hujan menitis jatuh, tumbuhan memandang langit tanda
syukur dan wanita tua itu tak henti mengeluh.
Seorang budak kecil berlari masuk ke dalam rumah. Selesai
angkat baju, wanita tua itu pula bergegas masuk ke dalam rumah. Baju-baju
dilonggok atas sofa koyak.
“Berapa kau dapat?” soal wanita tua itu sambil bakar hujung
rokoknya.
“10 ringgit 20 sen.” Balas budak kecil perlahan.
“Kau ingat ni cukup! PANG!” satu tamparan hinggap di pipi
budak kecil itu. Tak semena guruh dan kilat menyambar.
Jeda seketika.
***
Bumi terus dibasah hujan. Merakam segenap karenah manusia.
Menenangkan sesetengahnya. Melagakan dua kepala.
Dan hujan, masih jatuh menimpa.
Comments
Post a Comment