Vroooooooooommm !!! (Nukilan Acap Pedoks)
Kampung Maratho tidak pernah sunyi ketika petang. Bunyi motor yang dibuat-buat mengaum garang. Dua orang budak ; Zambri dan Yahya galak berlumba (berlari) di atas padang yang merupakan trak sepang mereka. Masing-masing tak mahu kalah.
Tangan kanan ditegakkan dan diletakkan pada mulut bagi menghasilkan bunyi motor. Bunyinya lebih kurang macam ini –Vroommm!-.
“Zam, aku lagi laju daripada kau.” Yahya memintas Zambri. Kakinya gigih berlari seperti ayam kampung.
“Oh kau nak lawan eh. Vrooommmm!”, maruah Zambri tercabar sebelum memecut laju mengejar Yahya di hadapan. Sedaya upaya dia berlari untuk menjadi nombor satu.
Perlumbaan semakin rancak. Kedua mereka membelah angin kampung yang sepoi-sepoi bahasa. Kedai Kopi Dolah menjadi garisan penamat. Kedudukan teratas berpihak kepada Yahya. Dia paling di hadapan.
“Vroooomm!”, laung Yahya megah setelah dia orang pertama sampai. Zambri cuma lewat 0.20 saat. Mereka berdua tercungap-cungap mengambil nafas.
“Huh! Huh! Huh! Wei, Yahya. Huh! Huh! Bila turn aku nak menang pulak. Asyik kau je. Aku nak juga dengar macam ni, ‘YE, ITU DIA ZAMBRI DI TEMPAT PERTAMA DAN MEMENANGI PERLUMBAAN PADA HARI INI’. Hah, macam tu.”
“Huh! Huh! Huh! Satu hari nanti kot.”
***
Penunggang yang dikenali sebagai Y, dengan tunggangannya Yamaha EgoLC di kedudukan paling hadapan. Beberapa penunggang lain mengekori dari belakang. Ini merupakan lap terakhir. Y memberi sepenuh tumpuan pada jalan. Walaupun tangannya gatal minta dikeruk, dia cuba bertahan.
Di sekolah tajam penghujung, Y membelok cermat dan sempurna. Namun, sebuah tunggangan Yamaha 135LC menderu laju dari belakang sekilas memotong Y penuh maruah. Y tergamam. Hatinya berkali-kali melafaz sial.
Bendera di garisan penamat galak dikibarkan menyambut penunggang yang pertama serta yang lain. Yamaha 135LC lincah meninggalkan Y. Litar sepang mula riuh dengan sorakan orang ramai. Adrenalin Y mengalir laju. Dia tidak sanggup menyerahkan gelaran Raja Pecut kepada penunggang Yamaha 135LC. Sesekali tidak akan.
Y cuba memecut. Habis minyak diperah. Meternya sudah di takat maksima. Enjin motosikalnya lantang mengaum seakan bunyi ketika dia menang berlumba sewaktu kecil. Dia masih terkenang kata-kata yang diungkap oleh kawan sepermainannya. Kini, mereka sudah terputus hubungan sejak Y meninggalkan kampung atas dasar bapanya dipindahkan ke Kedah.
Namun, hari ini Y terpaksa akur. Kehidupan seperti roda dan dia tidak akan selalu di atas. Hari ini kalah. Tempatnya dibawah.
“Vrooooommm!”, jerit Yamaha 135LC garang sambil membuat wheelie setelah melepasi garisan penamat sebagai pemenang.
Kedengaran di arena litar lumba, nama penunggang jentera itu di sambut gembira.
“YE, ITU DIA ZAMBRI DI TEMPAT PERTAMA DAN MEMENANGI PERLUMBAAN PADA HARI INI!!!”
Comments
Post a Comment