CANGGUNG (Part-1)


Sunyi dan sepi selain ranting bergeseran dengan zink. Bunyi yang mengguriskan pundi kencing. Dalam pada angin tengah hari berpuput lembut masuk di celahan papan kayu. Membuai enak orang Kampung Tualang.  Yang sudah enak bersantap sambal belacan dan asap pedas ikan tenggiri pastinya angin di kala ini adalah angin terbaik untuk diajak beradu. Malah masih kosong pangkin di seberang jalan. Tidak kelihatan lagi team gosip ‘MULUT PUAKA’ nun di bawah pokok mangga yang memayungi sebuah pangkin yang berusaha menyatukan 5-6 punggung milf. Kadang-kala tidak menentu bilangannya untuk dikira. Teralu horny dan menambah dosa kering untuk dilihat lama.
            Brannngggg!
            “Alamak! Musibat !” Tajul bergegas ke dapur macam orang kena sampuk. Rambutnya bersergum tidak diambil pusing. Terlondeh kain pelekat yang menutup anu tak menyempat nak dikemaskan. Dia sebenarnya dah terlanjur. Mujur bunyi motorsikal 125 anak Haji Doli (rasanya) menderum gila telah menyelamatkan kondisi. Pacuan dua roda itu merentasi sebatang jalan bersebelahan rumah kecilnya yang diperbuat daripada papan bermutu. Di saat itu juga, berkecai sinematografi mimpinya. Kecelaruan terjadi di setiap plot mimpi yang belum berkesudahan. Ah! Tidur memang mengasyikkan, gumam Tajul mamai.
            Perlahan-lahan anak tangga 6 kerat dituruni. Dengan bantuan penghadang tepi, dia melangkah teratur menuju ke dapur gas. Mengatur setiap langkah. Kelihatan cerek tertenggek sedang dipanaskan. Mucungnya berpusu-pusu dihembus wap panas. Tapi, tiada bunyi menjerit sayup. Menandakan air di dalamnya belum mencapai tahap didih. Tajul hembus nafas lega. Kain pelekatnya dipakai elok semula dan agak kecewa kerana tidak berada di penamat mimpi.
            “Aku pikir hang dah rentung terbakar. Mampuih aku nak beli baru. Jam ni hang kena tahu barang lagi mahal dari maruah manusia.”
            Omel Tajul yang fikir maggi akan mengenyangkan perutnya. Jadi dia harus menjerang air sebagai langkah awal. Untuk mempercepatkan masa menunggu dia bercadang untuk tidur-tidur ayam. Kesedapan tidur di waktu tengah hari tiada tolok bandingnya. Empuknya kekabu yang mengalas kepala cukup rencah kalau hendak buat nasi goreng kampung. Cukup kampungnya. Kesudahnya, dia terlajak sampai 30 minit. Nasib cereknya tak rentung sekali dengan dapur. Mahu tak mahu tidur balai raya alamat rumah kalau tinggal dua tiga keping papan. Jauh Tajul buang imaginasinya itu.
            Dapur yang ditembusi cahaya matahari dari celahan zink berlubang. Sedikit bahang terasa menjalar pada tubuh kedingnya. Gerobok yang sudah tidak boleh ditutup  pintu Tajul gali mencari stok maggi disebalik timbunan gula pasir, tepung dan tin susu cair yang tidak tersusun. Kerja Tajul menjadi sukar. Ditambah terlalu banyak ronyokan plastik kosong menghalang pergerakan tangan. Plastik yang dia tidak pasti kenapa masih disimpan. Berkerut mukanya mengalahkan orang sembelit dan peluh mula mengalir menuruni pelipis.
            Akhirnya pek berwarna kuning bersama tulisan ‘KARI BERAPI’ buatkan mata Tajul terbuntang luas. Paket maggi itu dilekapkan pada pipi cengkunya. Yes, my baby! Tajul goyang punggung.
            Kari berapi yang meletupkan kepala orang pada plastik maggi ditatap Tajul. Beria muka orang itu macam pedas sangat. Setahu Tajul sambal petai ibunya paling pedas di daerah Alor Setar. Semua penduduk Kampung Tualang tahu tentang kehandalan Mak Temah apabila membuat sambal. Siti rogayah, pemilik kedai runcit juga tahu. Mat Karen, orang kaya lembu/kambing juga tahu. Malah, Zulaikha Ramlee, crush Tajul juga pernah merasai sambal petai masakan Mak Temah ketika bertandang bersama kumpulan marhaban kampung. Oleh itu, maggi kari ini masih belum dapat menangini apa jua, fikir Tajul.
            “Agak-agak hang nak kencing aku sampai letup-letup kepala apa jadah!”
            Plastik maggi itu dibicaranya. Mengomel tak tentu pasal.
            Dia ambil satu daripada enam paket. Dibelek pek maggi itu yakni mencari tarikh luput. Dia hampir lupa bila kali terakhir dia ke kedai untuk membeli maggi. Selama ini dia hanya menumpang makan di rumah ibunya.
            15 JUN 2015
            “Cilaka betul!” Maki Tajul berang. Meluap isi hatinya. Berombak dadanya naik turun, menahan rasa marah. Bertukar panas darah yang mengalir di segenap tubuh.
            “Mampuih aku kalau makan. Panas jubur aku asyik nak terberak je kalau makan hang tau.”
Mula Tajul meroyan sorang-sorang. Dalam benak dikiran, hari ini Jumaat. Dia belum makan sehari suntuk sejak orang balik semayang Jumaat. Hendak ke Warung Kak Salbiah, kantoi  gamaknya dia tidak ke masjid oleh Imam Daud. Terpaksa dia menunggu sehingga orang kampung pulang ketika jam beransur pukul dua. Tatkala dia dan senyuman gembira terlukis di wajah, minyak motornya kosong sekosong otaknya. Dua tiga-kali dihenyak motor RXZ metalika itu. Tersengguk-sengguk macam bunyi keldai nazak.  Punah harapan yang menggunung untuk ke Warung Kak Salbiah. Keli masak cili api bermain di kepala otaknya. Kini hanya tinggal kenangan.
Maggi harapan teragung yang dia taruhkan untuk mengisi perut yang bergendang lapar. Alangkah sebentuk  kekecewaan datang merosakkan harinya. Meretakkan sanubari yang merintih sejak dia mula menjerang air. Kesemua maggi di dalam pek telah tamat tempoh. Tertulis di setiap paket, maggi yang sudah rosak 7 bulan yang lalu. Ianya macam satu sial yang datang berjemaah.
Benda yang rosak tak elok simpan, menjahanamkan mood. Melantun-lantun kalimah cilake di bibirnya. Hambur marahnya berterabur keluar ketika direnyuk keenam-enam pek maggi. Tajul campakkan mereka ke dalam tong sampah. Maggi yang pertama dicampak paling kuat. Deras terperosok masuk paling dalam bersama sampah-sampah yang lain. Diikuti paket maggi yang lain pada balingan yang cuba dikekalkan kelajuannya. Terubat sedikit sakit hati Tajul. Walaupun perutnya terseksa kelaparan.
Dalam pada itu, kedengaran bunyi bising datang dari dapur gas yang tertenggek cerek. Meraung-raung macam anak kecil baru disakat. Terus menujah kembali rasa sakit dihati seperti diguris pisau dengan sengaja sesudah melihatkan air yang dijerang mula mendidih. 
“Hang diam lah setan!”
Teriak Tajul yang feed up sebelum cerek yang menjerit itu dialihkan dari api.
***
            Tajul menghadap tivi sambil menongkat dagu di kerusi malas. Bunyi kruk-kruk-krek kadangkala bergetar dari perutnya. Aktor sensasi Malaya, Rozita Che Wan ditonton selamba.  Meliang-liuk punggung wanita itu apabila berjalan dengan kasut tumit yang dipakai dalam telemovie Kiah Pekasam. Tajul rasa dia akan horny gila kalau perutnya tidak lapar.  Gigil perutnya semakin menjadi-jadi. Kalau dapat makan maggi dengan ikan pekasam pun cun, fikir Tajul.
            Gedebuk!
            “Oi, mak kau hijau!” latah Tajul. Mati serta-merta lamunannya.
            Seekor tikus sebesar penumbuk baru jatuh dari bumbung rumah. Tikus hitam dengan bulu yang lebat memandang Tajul hairan.
            “Ni lagi satu setan. Sabaq aku makin lama makin hilang hari ini. Aku nak pi amik lastik, lastik jubo hang.”
            Diseluk bawah kerusi malas, teraba-raba mencari lastik. Sememangnya itu senjata dia berlawan dengan cicak kobeng, tikus gedempul dan lipas terbang. Memang cari nahas. Hah! Tajul keluarkan lastik yang berhabuk sedikit.
            “Mana hang anak haram?!”
            Tajul  meletakkan guli sebagai peluru yang dia ambil dari dalam bekas abu rokoknya. Dia bangkit dan mencari tikus yang sudah lari bersembunyi. Ini kerana Tajul tidak nampak kelibat binatang itu.
            “Hang dah pening tu. Aku ada panadol. Meh lah busyuk-busyuk...””
            Bersiap-sedia dengan lastik yang sedang ditarik sebelum dilepaskan guli. Bawah tivi Tajul mengendap, kosong. Belakang langsir diselak, pun tidak kelihatan.
            “Cit-cit-cit…”
Telinga Tajul cepat tangkap bunyi yang entah dari mana datangnya. Kakinya terasa geli seperti digeletek bulu ayam. Kain pelekatnya diangkat sampai ke lutut. Tikus yang dia cari mendongak melihat muka Tajul. Senyap-senyap dia bersembunyi bawah kelengkang Tajul yang kepam.
            “Cilake! Skodeng telo aku!”
            Tajul sepak tikus di bawah kelengkangnya. Bergolek-golek macam bola hingga ke tangga. Tergedek-gedek tikus itu lari ke arah dapur. Tikus itu diperhati dulu.  Sebelum dia lepaskan guli pada kelajuan 30 batu sejam pergi dengan jayanya. Sial! Guli itu pengkau melilau. Mungkin tangannya tak bedung . Terkena pada sekeping cermin tingkap di dapur. Terbelah dua gamaknya mujur tak jatuh berderai.
            “Hari ni hari hang. Takpe. Ingat aku maafkan hang sebab dah makan separuh ic aku. Never and ever!” hambur Tajul. Lastik disimpan semula. Dia duduk semula pada kerusi malas dan menarik nafas. Cukup menyesakkan paru-parunya yang kekurangan oksigen. Sesudah aturan nafasnya stabil, dia mencucuh sebatang rokok yang dikepit pada bibir. Berpulun asap mara keluar setelah dihembus penuh perasaan.
            Bip-bip-bip!
            Telefon Tajul bergetar di atas tivi. Segera dia capai, tekan butang hijau dan letakkan pada telinga.
            “Hah, Zam. Awat? Ada masalah besar ke?”
            “……”
            “Job baru? Okay-okay. Datang ah.”
            “……’
            “Zam, hang bawa sekali maggi kari pedas. Aku lapar belom maggi dari pagi.”
            “……”
            “Hang cari yang ada gambar kepala orang meletup.”
            “……”
            “Okay, chao.”
            Talian dimatikan.
            Tajul menyandar semula pada kerusi malas, melayan sehingga habis puntung yang disedut.
“Cit-cit-cit.” Bunyi tikus tadi seperti memanggilnya yang leka menonton tivi.  Semacam mahu mengajak Tajul bermain kejar-kejar lagi.
            “Dah aku malas nak layan hang.”
            Tolak Tajul mentah-mentah macam rejek awek kilang yang hitam dan kepam.
***
            Zam tolak motor masuk ke halaman sebelum memasang tongkat. Sambil menjinjing plastik berisi sepaket maggi kari berapi, pintu diketuk. Wajah Tajul muncul setelah ketukan berulang yang deras menyentak perhatiannya dari tivi. Sudah diketahui itu kedatangan Zam – Zam anak tokey budu.
            “Sampai pon hang. Nahorom lambat macam anak dara pakai make up.” Tajul mempelawa Zam masuk. Melihat plastik di tangan Zam terus dia sambar. Langkah mereka ke arah dapur. Zam hanya mengikut rentak Tajul yang tak sabar nak makan maggi.
            “Bila kali terakhir hang makan?” soal Zam melihat Tajul memasukkan 3 bungkus maggi serentak.
            “Hehehe….”
            Sengih Tajul lalu menuang air panas.
            “Jul, aku ada berita nak habaq. Benda baik punya !”
            “Bende?” Toleh Tajul. Perencah maggi dibubuh. Keruh air bertukar setelah disebati dengan beberapa pusingan garpu. Bau kari mula meruap naik dan menangkap deria bau Tajul.
            “Memandangkan hang takde kerja. Aku nak offer hang satu job ni. Nak ke tidak?”
            “Job apa? Kalau jadi pilot aku nak lah.”
            “Lebih kurang pilot. Tapi, lain sikit.”
            Zam menggariskan senyuman psiko melihatkan Tajul teruja untuk mendengar berita yang hendak disampaikan. Dia cuba menaikkan suspen.
            “Jadi pilot KTM.”
            Tajul yang sedang menghirup maggi mengangkat kepala. Dia tersenyum indah kepada Zam. Zam tahu reaksi Tajul bererti setuju. Hari Jumaat memang hari penuh berkat. Tajul dapat maggi yang diidamkan dan tawaran kerja yang tak dijangka. Kali ini tuah menggantikan sial dan juga datang berjemaah kepadanya.
           
           

           
           

Comments

  1. Tivi? Wujudkah perkataan sedimikian?

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Ditulis Dari Hati yang Keras

Puisi cinta #1