Cencaru masak lemak mak

Belakang rumah
Wanita berambut hitam belang putih sedang khusyuk memarut kelapa di belakang rumah. Kedutan kulit sawo matang menampakkan usianya mencecah separuh abad. Berpeluh tubuhnya. Bau hamis kian mengundang. Demi perut yang lapar, sanggup sebegini rupa. Nasib baik kerusi kayu kecil menjadi pengalas punggung anjalnya. Kurang penat tak sakit pinggang. Lauk makan tengah hari sudah difikirkan dalam otak. ‘Cencaru masak lemak’. Menu tengah hari yang cukup lazat. Kepekatan kuning kuah menaikkan nafsu makan manusia sekira direnung lama.
Segala bahan disusun sebaris panjang di atas meja kayu yang kerap goyang ke kiri ke kanan. Kuali dipanaskan pada tahap suhu sesuai. Tidak terlalu panas atau terlalu perlahan apinya. Seusai itu, kewarasan akal perlu digunakan. Segala cara dan proses penyedian harus melekat pada minda. Hilang satu lain jadinya.Tetapi naluri seorang ibu sukar dipertikai. Jarang salah melainkan betul. Kesabaran dan keikhlasan hati perlu di gaul ketika kuah sedang ditumis. Sedikit demi sedikit dicurah agar tidak tumpah setitik.
Ikan yang sudah dikeluarkan dari peti sejuk berwarna hijau jenama Toshiba digapai setelah direndam. Seekor cencaru kaku dipeluk tangan gebu si ibu. Lalu dibaringkan perlahan dalam lautan kuning pekat. Bakinya lagi dua. Sedang menunggu giliran masing masing. Masa diperuntukkan siap 20 minit setengah.
“Zrrrrrreeet”. Bunyi kerusi ditarik malas. Si ibu melabuhkan punggungnya semula. Nafas penatnya dihembus kencang. Hanya menunggu air tangannya benar siap.


Luar rumah
“Mak !!! Orang dah balik,” teriakan budak sekolah yang serabai dari luar. Basikal fixie diparkir bawah rumah bersebelahan rumah ayam.
“Masuk lah ! Mak kat dapur,” sahut si ibu yang suaranya serak serak basah.
Kasut putih B-first yang dibeli awal tahun ditanggalkan. Dicampak mengena pada rak kasut rapuh dek sebab dimakan anai anai. Melihat keadaan kasut itu sangat sadis. Hujung belah ibu jari sudah koyak sedikit. Ganas sungguh si pemakai.
Sekilas itu, lantai papan rumah tua kedengaran seperti gergasi sedang berlari anak. Bukan gergasi tapi anaknya. Mungkin aroma masakan memikat nafsu makannya. Bunyi hentakan tapak kaki yang sedang berlari makin hilang bergema di gegendang telinga. Rasanya sudah sampai budak itu ke destinasi dituju : meja makan dengan perut lapar yang berkeroncong.

Dapur
“Mak, lapar,” manja suaranya tanpa mencium tangan ibunya yang berbau kunyit terlebih dahulu.
“Hmm tahu. Pergi tukar baju dulu,” jawab si ibu yang sedang membasuh apa yang perlu. Pinggan mangkuk rasanya. Malas mahu memanjakan anak gemuknya itu. Makin menjadi jadi parah juga.
“Tapi adik lapar lah mak,” rayu anak kecil yang hangit baunya dengan perut berbentuk bola boling. Diusap manja benda bulat tu. Sengaja mencari alasan. Malas lah, ada hantu lah dalam bilik, kalau makan lambat kena gastric lah apa. Seribu satu sebab muncul di akal kecil jika dipaksa.
“Dengar cakap mak,” kesabaran masih ada ditunjukkan.
“Tapi, mak adik….”                       
“Dengar cakap mak,” ulangi si ibu semula. Persis astro. Cerita sama berulang hari hari. Bosan.
“Adik la…” keluh si anak lagi mendayu.
“Dengar cakap mak,”  amaran yang terakhir sebelum perkara buruk berlaku. Situasi yang tidak digemari anak anak kecil bakal bermula. Adakah kali ini rotan buluh kedai Ah Hock? Hanger baju tepi mesin basuh? Atau yang asli lagi menyelerakan, pelempang perkasa keturunan Bajau?
“Mak please...,” mula speaking budak tembam yang kelaparan.
Pili air dipulas melawan arah jam. Segera kedua belah tangan direnjis menghala ke arah tingkap yang penuh sarang labah labah. Sunyi sepi sejurus itu. Bagai padang jarak pandang terkukur keadaannya. Hanya bunyi kipas bermain di ruang atmosfera rumah. Tetapi bahang kian terasa seketika. Lama juga tiada perkataan yang keluar dari keduanya. Terkesima dan terkedu lidah.
50 saat kemudian,
“Aku cakap apa tadi, hah?” soal si ibu dengan frekuensi nada yang tinggi.Hujung baju disinsing paras lengan lalu pinggang lebar dicekak kedua belah tangan. Mimik muka memainkan peranan. Bengis sedang marah raut wajah.
Dia mula memasang kekuda. Deruman enjin  dalaman mula dihidupkan. Langkah ke hadapan mula diatur perlahan. Setapak demi setapak. Lama kelamaan makin laju kakinya menghayun. Si anak tidak terlalu bodoh untuk terus pegun. Dia turut sama meniru aksi ibunya, tetapi cuma dia berlari di hadapan dikejar harimau yang mahu membaham. Keliling meja ditawaf bersama. Seakan melakukan rukun Islam yang kelima. Cuma berlari bukan jalan kaki.
Lima keenam pusingan sudah memadai. Si ibu letih. Titisan peluh jantannya jatuh di atas tikar getah yang 5 tahun belum diganti. Tangan yang lemah cuma menjadi gagah. Menarik kerusi sedaya upaya. Nafas cungap turun dan naik. Atas dan bawah. Selang seli silih berganti. Gayanya macam sudah mengalah. Ibarat bendera putih diangkat tinggi tanda putus asa. Kalah dengan anak sendiri. Ada malu yang rasa. Tapi kurang. Nasib jiran sebelah, Joyah tak nampak.  Mahu dia tahu heboh satu kampung. Satu persatu rumah dia singgah dengan jamu daranya. Bagitahu apa berlaku.
Si anak dengan pipi mongelnye tersenyum. Nampak bahagian gigi berlubang. Tanda penggemar gula gula rasanya. Ketawa mengejak ibunya yang kurang oksigen. Tahu dia pemenang tidak diiktiraf. Cuma mahu berbangga. Gemuk bukan penghalang desus hatinya. Puas ketawa dia cuba berbicara.
“Ye lah yelah. Adik pergi la ni. Hish orang nak….,”  kaki pendeknya mula mengorak langkah menuju bilik.Membawa badan yang hampir sama dengan berat anak gajah perlahan-lahan. Ditambah malas beraja di lubuk hati. Bebelan bebelan tidak puas masih kedengaran walaupun jarak sudah jauh. Tu lah ini lah. Ada saja tak kena.
“Hah amboi!” panjang lima harkat. “Menjawab menjawab! Aku cili kang mulut kau tu!” ugutan berbaur kekerasan dilemparkan. Dia sudah kembali normal. Nafas sudah cukup mengisi ruang paru paru merah. Seusai itu, pinggan serta cawan diambil perlahan dari atas rak. Berhati hati takut pecah. Baru saja dibeli masa berkunjung ke Langkawi tahun lepas. Lauk yg dimasak di hidang panas panas.

Meja makan
“Mak nasi,” kerusi ditarik malas memilukan hati bila didengari. Pinta si gendut sejurus itu.
“Nah,” nasi di ubuh rapi. Berhati takut tercicir keluar sebutir. Membazir pulak nanti. Macam iklan tv, sebutir nasi ibarat setitik peluh petani, hargai lah ia.
Tanpa diminta tiga sudu kuah lemak diceduk. Menyiram nasi yang berwap. Seekor ikan cencaru pula diambil dengan bantuan tangan kiri. Memastikan tidak jatuh terjelupuk sia sia.
Si anak mula makan. Tanpa bismillah. Lahapnya masya Allah susah dikata. Maknya sekadar menggeleng perlahan. Kiri dan kanan. Beberapa butir nasi sudah mula jatuh mengelilingi pinggan percuma dari pembelian Colgate.
Maknya hanya memerhati sudah memadai. Sejuk hati. Anak kenyang ibu kenyang. Cubit peha kanan peha kiri terasa. Teringat peribahasa di dinding sekolah lama.
“Mak masak sedap ah. Esok masak lagi tau,” mulut comot serta penuh mula berkata. Kurang jelas butirnya tapi difahami.
Angguk faham. Diam tanda setuju. Dia si ibu. Insan nombor satu. Tugas tak pernah lari. Walau tsunami menanti.
Dia tahu tanggungjawab. Berat tapi mahu dipikul. Bukan hasutan paksaan tapi sedar dengan kerelaan.




Comments

Popular posts from this blog

CANGGUNG (Part-1)

Ditulis Dari Hati yang Keras

Puisi cinta #1