Cokelat
Jalan sesak waktu
pagi sama akan minda manusia yang celaru. Terlalu sibuk fikir akan nasib dunia
sehingga lupus makna hidup.
Aku duduk bersandar
pada dinding batu, memerhati gelagat mereka yang tidak keruan. Ke sana sini
melangkah serupa robot ciptaan yang menurut arahan. Kadang kala aku berkata
pada diri sendiri, ‘Bodoh juga mereka’.
Leka akan not not
yang aneka warna dan nilai, gila menari atas papan maksiat.
Sedang aku amati satu
persatu, pandangan ku tertumpu pada seorang anak kecil. Pipi yang mongel
menjadikannya semula jadi comel.
Terjengket-jengket
cuba mengambil coklat yang menjadi idamannya. Tangan terkapai kapai seakan
meminta pertolongan. Dan akhirnya jurujual wanita berkulit kuning langsat segera
hulurkan bantuan. Memberi satu batang coklat yang menjadi igaun kepadanya.
Anak kecil itu
gembira tak terkata. Hanya riak wajah ikhlasnya mampu memberitahu segalanya.
Ketika aku khusyuk
melihat telatahnya, dia terpandang ke arah ku. Senyum yang menguntum di jalur
bibirnya diberi padaku. Respon ku segera mengalihkan pandangan ke tempat lain. Berlagak
seperti bukan aku sedang meng-ushanya
Dia meminta satu
batang lagi coklat. Lalu dua keping not biru muda di hulur. Tiada baki yang
dipulangkan. Perlahan lahan menapak kecil menuju ke arah ku.
“Pakcik nak coklat,
saya beli dua”, aku sekadar memandangnya yang kini sudah berada dihadapan mata.
Teragak agak mahu menerima tawarannya.
Menunggu tiada
balasan yang keluar dari mulutku, dia memegang tanganku dan menyisipkan sebatang
coklat. Bergeletar tangan ku menerima.
Tidak pernah
sesiapapun yang sudi berbuat demikian kerana aku sekadar gelimpangan jalanan. Yang
hanya dibenci dan dicaci masyarakat. Takdir aku yang tidak menyebelahi,
mengubah diri ini.
Dek kemalangan 3
tahun yang lalu aku terus putus harapan. Apatah lagi mahu meneruskan kehidupan.
Terasa kehidupan ini seakan tawar yang melampau. Aku hilang segala yang aku
pernah kecapi.
“T…t…terima kasih nak”,
aku memaksa mulut untuk berkata.
“Sama-sama pakcik”,
balasnya.
“Coklat ni manis tau.
Saya selalu mintak mak duit nak beli. Tapi saya tengok muka pakcik sedih je
sebab tu saya belanja pakcik”, katanya lagi sambil tersengih, menjilat coklat
dengan bersemangat.
“Ye nak. Hidup ni
kadang tawar. Kadang manis. Tapi pakcik dapat rasa yang tawar je”, aku
memberitahu lumrah hidup yang tak dapat disangkal lagi. Memandang wajah sayu
yang masih bisa dicorak dengan baik
“Hah apa tu pakcik”,
terpinga dia mendengar kata ku itu dan berhenti menjilat.
“Haha tak de pape. Sambung
lah”, arah ku semula padanya.
Aku menatap coklat
itu sebelum memakannya. Berharap suatu hari nanti ada manusia seakan anak kecil
ini di merata.
Balutan coklat aku
tanggalkan dan memasukkannya ke dalam mulut.
Terasa manisnya yang
aku idamkan. Kemanisan yang lama hilang dari deria hidup setelah pergi orang
kesayangan. Aku berharap ia berkekalan kerana aku perlukannya untuk hidup yang
baru.
Aku memandang semula
anak kecil itu. Sibuk dia menjilat coklat itu sehingga keliling mulutnya
bertompok coklat.
Aku memegang pipi
mongelnya lalu mengusap. Dia sekadar memerhati tanda kurang faham.
Getus hati ku berkata, ‘terima kasih nak beri pakcik rasa kemanisan yang diperlukan. Terima kasih”
Comments
Post a Comment